SEJARAH

Sejarah Pertubuhan Seni Kompang Fatani Malaysia  bermula sejak tahun 40-an sebelum Tanah Melayu ( Malaya ) merdeka dimana dua orang yang berasal dari negara jiran Bentan, Indonesia, yang dikenali dengan panggilan Kang Munaji bin Mohamad dan Kang Jasman bin Abdul Rahman. Mereka berhijrah ke Singapura dan mengembangkan Perguruan Seni Silat Esha dan dalam mengajar ilmu persilatan, mereka mengamalkan zikir-zikir memuji kebesaran tuhan. Dalam pengamalan pencak silat tersebut digabungkan dengan paluan kompang mengiringi langkah persilatan dan gerak tari persilatan. Pada masa itu seorang pemuda berasal dari negeri Melaka turut mempelajari zikir-zikir tersebut dan persilatan Seni Esha dari Kang Jasman yang lebih kepada zikir sedangkan Kang Munaji, lebih kepada persilatan. Beliau yang dimaksudkan bernama Ramli bin Dawam @ Dawang.

Selepas khatam berguru di Singapura, Ramli bin Dawam pulang ke tanah tumpah darahnya, Melaka dan mengembangkan ilmu ketuhanan ini dengan beberapa pukulan yang digubahnya sendiri untuk kesesuaian zikir tradisi yang dipelajarinya dan dipetik dari kitab Dewanul Hadrah. Beliau kemudiannya menamakan pukulan dan zikir Esha yang bermaksud Setia dan Sucihati serta mulalah berkembang di negeri  Melaka.

Apabila Ramli bin Dawam berkhidmat dan bermaustautin di Selangor, jiran tetangga sering terdengar alunan zikir dan paluan kompang beliau dan berminat untuk bersama mempelajarinya dan bermulalah era kompang ezhar di negeri Selangor. Beliau mula melatih beberapa cawangan seperti di Kampong Cendana, Kampong Puah Seberang, Kampong Pandan, Kampong Limau Pantai, Kampong Dato Keramat dan sekitar Kuala Lumpur. Diantara muridnya yang dilantik menjadi guru kompang ialah Cikgu Rahman Yim, Cikgu Mohd Saleh bin Mohd Said, Cikgu Yahaya bin Hassan, Cikgu Sahadan bin Abu Bakar, Cikgu Rasul, Cikgu Alias, Cikgu Mastor, Cikgu Jalal bin Haji Taib dan lain lain.

Pada 7hb Januari 1977, Persatuan Kompang Dan Silat Ezhar didaftarkan dengan kerjasama, susah senang beberapa orang sahabat beliau dan berpengkalan di alamat No.5 Lorong D10, Kampong Pandan, Kuala Lumpur dan setiausahanya ialah Cikgu Mohd Saleh bin Mohd Said. Beliau pun sangat rapat dengan  Cikgu Mohd Saleh bin Mohd Said  selaku jurulatih dan mengharap untuk mengganti tempat beliau satu hari nanti. ketika itu ilmu perguruan dan perkhataman diturunkan kepada Cikgu Mohd Saleh.

Dengan berdaftarnya Persatuan Kompang Dan Silat Ezhar Negeri Selangor, maka cawangan pun tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Begitu juga dengan perlembangaannya diubahsuai supaya lebih padat dan bersesuaian dengan keadaan semasa itu. Tersebarlah pukulan dan zikir edzhar di negeri selangor dan keselatan tanah air, hingga menjadi keperluan  dalam merayakan  sambutan hari kebangsaan dan perasmian musabaqah al quran.

Perkara yang tidak di ingini berlaku pada tahun 1978 semasa sambutan Hari Kebangsaan ke 21 dalam pentadbiran pusat, di mana berlakulah perpecahan.  Cikgu Mohd Saleh bin Dato’ Haji Mohd Said dan beberapa orang jurulatih yang senasib dengannya berjumpa Maha Guru Ramli bin Haji Dawam, berbincang cuba menyelesaikan kekusutan yang menimpanya sebahagian besar dari keahlian Persatuan Kompang Dan Silat Ezhar dan apabila tidak dapat diselesaikan, beliau meminta keizinan serta kebenaran dan meminta restu untuk keluar dari Ezhar bersama cawangan-cawangan didikannya. Maha Guru Ramli bin Haji Dawam merestui pemergian Cikgu Saleh dan rakan-rakannya dengan syarat tidak mengubah, menambah atau mengurangkan serta  menjaga keaslian kesenian ezhar seperti lafas ijab kabul perkhataman yang diturunkan, maka bermula pada tarikh  itu, Cikgu Mohd Saleh, Cikgu Yahaya, Cikgu Sahadan bersama sahabat - sahabat  jurulatih yang lain cuba bersusah payah berusaha untuk mendaftarkan kesenian edzhar yang dipelajarinya dibawah nama baru seperti yang dilaluinya dahulu semasa mendaftarkan Persatuan Kompang Dan Silat Ezhar.

Dalam masa pencarian yang sangat perit itu, Cikgu Saleh ditemukan Allah dengan seorang yang berjiwa seni dan berjawatan tinggi di dalam Perguruan Seni Silat Gayung Fatani Malaysia bernama Cikgu Haji Anuar bin Haji Abdul Wahab dan diajak duduk di dalam gabungan pertubuhan tersebut dibawah cabang gendang dan kompang kesenian yang masih kosong. Cikgu Mohd Saleh berbincang dengan sahabat-sahabat seperguruannya lalu mendapat kata sepakat bersetuju dengan tawaran tersebut dan menamakan Persatuan Kompang Fatani Malaysia.

Pekara-pekara yang belaku dalam ezhar dijadikan pengajaran dan sempadan untuk terus maju dalam mengembangkan kesenian  ini dan era baru dilalui dengan lebih bererti. Cikgu Mohd Salleh sebagai pengerusi dan dibantu oleh Cikgu Yahaya sebagai setiausaha dan rakan-rakan seperguruan terus memainkan peranan dalam menjayakan perbagai aktiviti dengan membuka cawangan baru, melatih, menghatamkan sehingga dapat melahirkan jurulatih-jurulatih yang berkaliber untuk dihantar mengajar keserata tempat.

Sebagai penghormatan kerajaan Malaysia, Persatuan Kompang Fatani Malaysia diminta mengiringi pasukan bola sepak negara bertanding dalam Pesta Bola Merdeka ke Kotaraya Seol, Korea Selatan. Seramai 200 orang ahli telah bersama sama memalu kompang di stadium utama Seol  pada ketika itu.

Impian menjadi kenyataan apabila Persatuan Kompang Fatani Malaysia diiktiraf oleh pendaftar pertubuhan negara ( ROS ) berdaftar sebagai pertubuhan nya sendiri dinamakan Pertubuhan Seni Kompang Fatani Malaysia  dan mempunyai keahlian di seluruh negara. Perjalanan pertubuhan ini tambah terserlah apabila Pasukan Kadet Kompang Fatani ditubuhkan dan gabungan Perguruan Silat Imam Abu duduk dibawah naungannya.

Pada bulan Jun 2008, seorang Jurulatih Kanan Pertubuhan Seni Kompang Fatani Malaysia dan isteri beliau telah dilantik sebagai Penceramah Sambilan oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Parlimen Selayang untuk menjalankan aktiviti kelas bina insan (outsource) dan cawangan pimpinan beliau diserapkan menjadi Pasukan Kompang Kemas Parlimen Selayang dan telah dirasmikan pada malam 7hb November 2009 oleh Dato’ IR Nasir bin Nordin, wakil kepada YB Abdul Shukur bin Haji Idrus. Pasukan ini telah dipilih untuk mewakili Kemas Negeri Selangor dalam pertandingan kompang peringkat kebangsaan yang julung-julung kali akan diadakan pada bulan April  2011 di negeri Pahang dalam Pesta Festival Kesenian Islam Kemas 2011.Seterusnya, Insya-Allah pada bulan Mei 2011 ini akan diadakan Persidangan Agungnya yang ketiga yang mana pada tahun tahun yang lalu Pasukan Kadet PSKFM telah mengambil bahagian dalam perbarisan Kawalan Kehormatan memberi tabik hormat kepada Presiden dan YB Abdul Shukur bin Haji Idrus,  penasihat Pertubuhan Seni Kompang Fatani Malaysia.